BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 24 Jun 2009

Anda Ingin Bercinta?

Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, najis dan yang suci, syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan. Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?

Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat. Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..


Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

* Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
* Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
* Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
* Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
* Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan rahmat dari ALLah?

Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah. Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

* Kerana ALLah?
* Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang, mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik dengan namanya KEMODENAN?
* Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
* Kerana empunya diri itu sendiri?
* Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.

Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?

* Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?

Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU. Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama, cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak. Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

* Seminggu?
* Sebulan?
* Tiga, empat tahun?
* Sehingga habis belajar?
* Cinta hingga ke akhirat?

Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan? Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta

* Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms, mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
* Masa yang anda korbankan untuk sidia
* Hati dan perasaan


Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang sebenarnya?). Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah semula adatnya bagaimana RasuluLlah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir, perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba ALlah yang bertaqwa ataupun hamba ALlah yang derhaka?


*Ustaz Mohd Zul Roslan merupakan salah seorang moderator soal jawab agama iLuvislam.com. Berkelulusan Ijazah Sains Kemanusiaan & Ilmu Wahyu, beliau aktif dalam kerja-kerja sukarela dan menulis di blog ini dan ini.

MULIANYA HATI SEORANG ANAK

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.

“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.

“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.

“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,”
cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”

“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”

Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.

“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

“Tapi bang………..”

“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,”

pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.

“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan denga Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.

“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.

“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”

“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.

“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”

“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.

“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”

“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya.

Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.

“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.

“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.

“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.

“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis.

“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”

“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

“Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.

“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar.

“Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”

“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”

“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.

“Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

“Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”

“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.

“Abah ni…… ke situ pulak….”

“Habis tu?”

“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

“Apa???” Pak Uwei terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya.

“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat Abah.”

“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.”

“Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.

“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.

“Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”

“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”

“Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.

“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.

“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”

“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.

“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.

“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.

“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.

“Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”

“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.

“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.

“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.

“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.

“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.

“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.

Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..”

“Islam pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”

Kisah Ibu Menangis

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Seorang anak laki-laki kecil bertanya kepada ibunya,

“Mengapa engkau menangis?"

"Kerana aku seorang wanita", kata sang ibu kepadanya.

"Aku tidak mengerti", kata anak itu.

Ibunya hanya memeluknya dan berkata,

"Dan kau tak akan pernah mengerti" Kemudian anak laki-laki itu bertanya kepada ayahnya,

"Mengapa ibu suka menangis tanpa alasan?"

"Semua wanita menangis tanpa alasan", hanya itu yang dapat dikatakan oleh ayahnya.

Anak laki-laki kecil itu pun lalu membesar menjadi seorang laki-laki dewasa, tetap ingin tahu mengapa wanita suka menangis. Akhirnya ia mendapat petunjuk dari Tuhan, Antara bisikan yang didengarinya adalah:

1. "Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan "

2. "Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya "

3. "Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh "

4. "Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya "

5. "Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya "

6. "Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu "

7. "Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan walaupun kadangkala dia tidak memerlukannya."

Tahukah kamu: Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, karena itulah pintu hatinya – tempat dimana cinta itu ada."

Aku Tanpa CintaMU

AKU TANPA CINTAMU Lirik lagu nasyid, juga lagu layar keinsafan mungkin amat sesuai menggambarkan rasa keinsafan di hati Zayanah sekarang. Zayanah sering meratapi kekhilafannya dan merenung masa depannya yang gelap hasil perbuatannya sendiri.Tanpa diduga gadis yang selama ini amat menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, prinsipnya yang dipegang teguh selama hidup di bumi Allah, hancur begitu sahaja kerana amat rapuhnya iman seorang perempuan yang bergelar remaja.

Tawaran untuk ke sebuah universiti awam di tanah air sedikit melegakan hatinya yang luluh kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Zayanah tetap teguhkan hatinya untuk terlibat dalam bidang kejuruteraan. Dalam bidang kejuruteraan, sudah semestinya kaum adam lebih mempelopori bidang ini. Hati Zayanah sedikit cemas dan tidak selesa dengan keadaan barunya kini, kerana dia terpaksa bercampur dengan kaum adam untuk mencari ilmu. Namun dia percaya, selagi niat untuk mencari ilmu Allah dipegang, Allah akan melindunginya. Memang Zayanah mengakui, dia amat mudah tertarik dengan lelaki yang berpewatakan alim. Walaupun selama ini, Zayanah tidak pernah bergaul dengan lelaki, malah tidak pernah bercakap dengan lelaki, kerana dia memang dikenali dengan sifat pemalunya dan amat pasif semasa di alam persekolahan lagi, membuatkan ramai yang tidak berani untuk mendekatinya. Tetapi jauh di sudut hati seorang perempuan, dia inginkan kasih sayang seorang lelaki kerana dari kecil dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah malahan adik beradik lelaki kerana Allah lebih menyayangi abinya dan tiga orang abangya , yang meninggal akibat terlibat dalam sebuah kemalangan semasa Zayanah masih dalam kandungan umminya.

Perkenalannya dengan seorang senior lelaki atas dasar ingin menolong dalam pelajaran memusnahkan segalanya. Sidqi merupakan pelajar tahun akhir di universiti tersebut , berperwatakan amat alim dan banyak memberi nasihat kepada Zayanah, sedikit sebanyak telah menambat hati seorang mar’atus. Namun ketahuilah jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan. Iblis akan memerangkap anak cucu Nabi Adam as. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita amat lemah menghadapi tipu daya Iblis, lebih-lebih lagi pada zaman remaja. Memang pada awalnya tidak bersua muka, hanya bertanya khabar melalui internet, kemudahan teknologi kini banyak disalahgunakan pelajar sekarang, contohnya seperti Skype, YM, Gtalk dan sebagainya,

Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya? Inilah yang terjadi kepada kedua-dua mereka. Dimulakan dengan senyuman pertama semasa pertemuan pertama mereka di perpustakaan, telah menyulam kuntuman cinta dalam hati kedua-dua mereka. Perwatakan sopan dan lembut Zayanah telah menambat hati Sidqi. Hampir dua bulan perkenalan mereka, Sidqi telah memberanikan dirinya menyatakan hasrat cinta kepada Zayanah, mudah sekali syaitan telah meruntuhkan keimanan dihatinya, Zayanah pula yang sudah lama menantikan putera agamanya itu, dengan mudahnya menerima hasrat hati Sidqi. Maka bergembiralah syaitan kerana telah dapat meruntuhkan iman mereka. kononnya dengan harapan dapat menyemai cinta Islamik. Mereka telah berjanji untuk saling mengingatkan dan menjaga batas perhubungan mereka. Zayanah telah berkali-kali mengingatkan Sidqi untuk mengikat tali pertunangan jika benar-benar ikhlas terhadap dirinya, namun Sidqi memberi alasan untuk menghabiskan semester akhirnya dahulu barulah dia akan meminang Zayanah. Zayanah yakin dengan kata-kata Sidqi. Perhubungan mereka berjalan lancar sepanjang semester dan dengan bantuan Sidqi, Zayanah telah dapat sedikit minat untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan yang amat tidak disukainya dulu. Dengan bantuan Allah, mereka telah dapat menjawab soalan peperiksaan untuk semester itu dengan cemerlang.

Syaitan amat bijak dan pelbagai cara digunakan untuk meruntuhkan niat suci mereka, bercinta untuk mencari keredhaan Allah. Maka, terjadilah satu detik hitam dalam hidup kedua mereka, kerana mereka berasal dari negeri yang sama, Sidqi telah mengajak Zayanah untuk balik cuti semester ke kampung dengan menaiki keretanya. Pada mulanya Zayanah menolak pelawaan Sidqi, tapi apabila Sidqi memberi alasan hanya untuk teman berbual dan menghilangkan rasa mengantuk semasa memandu kereta, Zayanah menerima pelawaan buah hatinya itu, sayanglah katakan. Bila berdua-duaan, maka muncullah yang ketiganya, iaitu syaitan laknatullah, memujuk nafsu mereka. Maka terperangkaplah dua insan yang berkasih-sayang. Zayanah dan Sidqi telah hanyut ditelan nafsu . Sejak kejadian itu, Sidqi yang telah tamat pengajiannya di universiti itu telah menjauhkan diri daripada Zayanah dan meninggalkan Zayanah tanpa khabar berita, dengan alasan menyesal dan ingin bertaubat.



Bermula semester baru, Zayanah yang pada masa itu baru sahaja tahun dua pengajiannya, terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun kerana mengandung hasil daripada perhubungan kotor mereka. Namun sesalan tidak berguna lagi, keluarganya tidak dapat menerimanya lagi dan tinggallah Zayanah terkapai-kapai dalam penyesalan seorang diri. Dengan jasa baik sahabat karibnya, Amilah, Zayanah menumpang di rumahnya sehingga dia melahirkan seorang cahaya mata lelaki. Zayanah sentiasa tertanya-tanya, masih adakah insan yang dapat menerima dirinya yang sudah tidak suci. Kerana dia tahu, penzina hanya untuk penzina, lelaki yang baik untuk wanita yang baik, dan sebaliknya. Kini Zayanah berada dalam tahun akhir pengajiannya di universiti tersebut, memang perit untuk Zayanah kerana dalam masa yang sama, dia terpaksa bekerja untuk menyara anak lelakinya, satu-satunya buah hatinya kini. Penyesalan tidak berguna lagi. Begitulah kita jika tanpa cinta kepada Allah, jika hanya mengharapkan cinta insani, mudah hanyut dan termakan pujuk rayu syaitan. Nau’zubillah..

PENGAJARANNYA(TAZKIRAH SEORANG SAHABAT) Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia, ia telalu mulia. Kalau begitu, adakah cinta remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru, bukankah mereka ini semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!


WARKAH BUAT HAWA...
HAWA , andai engkau masih remaja, jadilah anak yg solehah bt kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH...

HAWA, andai engkau belum berkahwin, janganlah kau risau jodohmu, ingatlah janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrimmu, kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam sekaligus disusuli dengan pertemuan, takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri...

HAWA, lelaki yang baik tidak melihat pada paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keayuannya, lelaki yang warak, tidak menilai wanita melalui kemanjaannya serta kemampuannya mengoncang iman lelaki, tetapi, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan yang paling penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya, kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya, lelaki yang warak juga, tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita, yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu HAWA, jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada adam untukmu, cukuplah hanya cinta ALLAH, yang memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik, serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

HAWA, cintailah ALLAH dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai ALLAH. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH, cintailah keluargamu kerana kau tidak akan jumpa cinta yang bahagia selain daripada cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang mengoncangkan dunia, juga mengoncangkan iman lelaki.. TUNDUKKAN PANDANGANMU… WASSALAM WBT…

Ahad, 7 Jun 2009

Cintaku Hanya MilikMu

Bukan mudah Ya ALLAH…
Berdiri di tangga kemewahan, kenikmatan dan kesenangan
Keindahan dunia ini menganggu ku
Kemanisan hubbu dunya ini mencarik-carik imanku
Dimanakah aku tanpa kecintaan padaMU

Aku runsing Ya ALLAH
Aku berlari ke sana dan ke sini
Aku mencari dan terus mencari
Dimanakah ku tagih cinta Ilahi
Bagaimana harus ku bayar nikmat yang Kau beri
Sedang aku tidak diuji
Maka saat aku tidak diuji, adalah ujian yang terbesar sekali
Andai bisa aku berbicara denganMU
Dan ku harap Kau mendengar pengaduanku
Sungguh aku bukan bercakap kosong
Inilah keluhan hatiku
Yang merindu cinta MU, yang mengharap keredhaan MU….

Ampuni aku Ya ALLAH
Aku lemah lagi tak bermaya
Melawan sesuatu yang digelar fana dunia
Aku tak mampu Ya ALLAH,
Belenggu ini menghimpit ku…
Belenggu ini menghiburkan hatiku
Sehingga aku senang denganya
Sehingga aku takut kehilanganya
Sedang cintaMU itu sangat luar biasa…
Sedang cintaMU itu lebih dari segala-galanya…

Sungguh aku tak layak Ya ALLAH menghampiri syurgaMU
Dan pasti menggeletarlah seluruh tubuhku mendengarkan api nerakaMU
Lalu ke manakah langkahku
Selayaknya dimanakah tempatku
Atas redhaMU ya Rabbi..
aku hanya menuruti
Andai aku diseksa, kan aku patuhi
Asalkan Kau meredhai hidupku ini

Terima Kasih Ya ALLAH kerana sudi menyayangi diri ini
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering mendengar pengharapan serta pengaduanku
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering bersama-sama denganku,
tak kira apa keadaan imanku
Sesungguhnya Ya ALLAH,
cinta ku hanya milikMU…

Marah Kerana Sayang

"Orang tua zaman mak ayah kita, `garang` itu satu formula. Entah kenapa dengan anak-anak zaman sekarang, formula itu tidak menjadi. Tidak boleh marah-marah. Kena berlembut mengambil hati mereka. Pening akak memikirkannya," begitulah lebih kurang perkongsian buah fikiran yang dilontarkan oleh Kak Ina pada petang itu.

Kami yang masih belum berumahtangga hanya mendengar. Tidak tahu bagaimana hendak memberikan pendapat.


Marah Kerana Sayang

Selepas beberapa ketika, saya teringatkan dialog di atas. Mencuba-cuba mencari sebab mengapa formula itu tidak menjadi zaman kini.

Jika dahulu, pasti ramai antara kita yang pernah mendengar cerita tentang ibu bapa yang garang. Disebalik cerita-cerita itu, ibu bapa yang garang inilah mendidik anak-anak dengan baik sekali. Garangnya mereka, solat anak-anak terjaga. Garangnya mereka, anak-anak mendengar kata dan tidak berani melawan. Jauh sekali bercakap kasar mahupun biadab dengan orang tua. Begitulah garangnya orang tua zaman dahulu kala. Garang mereka mendidik. Garang mereka kerana sayang.

Hal yang sama turut kedengaran di sekolah-sekolah semasa zaman mak ayah kita. Guru-guru pada ketika itu garang yang amat! Tetapi entah kenapa, anak murid masih hormat. Guru yang garang inilah yang akhirnya akan paling dikenang! Guru garang, mengajarnya berkualiti. Mungkin disebabkan anak murid jadi takut andai gagal. Anak murid menjadi serius di dalam kelas kerana garangnya guru mereka. Atau mungkin kerana guru itu memang seorang guru yang jelas tanggungjawabnya mendidik anak bangsa. Guru garang dihormati dan paling diingati. Itu zaman mak ayah kita.


Marah Cara Moden

Zaman kini, zaman kita. Sudah menjadi fenomena biasa. Anak-anak akan bertindak liar, andai dimarahi. Hati mereka jadi keras dan melawan. Pantang dimarah, pasti merajuk. Manjakah anak-anak zaman sekarang?

Jika di sekolah, fenomena yang sama. Guru-guru yang garang masih wujud. Tapi entah kenapa, garangnya tidak menjadi. Jangankan dihormati, silap haribulan, guru itu dimarahi kembali.

Maaf tiada fakta, (saya perlu buat kajian mendalam ni, wah..nak jadi pakar motivasi kah?). Semuanya hanyalah beberapa pemerhatian semasa saya memikirkan persoalan diatas.
Mengapa agaknya garang era kini tidak menjadi? Marah tidak melahirkan hormat dan takut?

Ada satu perkara yang saya fikirkan, hanya satu fikiran. Kerana apa kita marah? Jika zaman dahulu kala, nilai-nilai kekeluargaan dan betapa eratnya silaturahim itulah yang membuatkan seorang ibu dan bapa marah. Kerana sayang pada anak-anak. Kerana ingin mendidik anak-anak.

Namun zaman kini, mengapa agaknya kita marah pada anak-anak?

Tekanan kerja yang tidak henti. Kepenatan mencari rezeki. Kurang masa beriadah bersama famili. Semua ini menyumbang kepada punca marah. Hidup yang menekan. Hati jadi kurang sabar. Maka, tidak mustahil andai kita memarahi orang lain (atau anak-anak dalam konteks artikel ini) adalah disebabkan oleh tekanan hidup. Kita marah bukan sebab sayang atau mendidik!




Filem Anger Management



Entahlah, saya belum mempunyai anak sendiri. Anak menakan adalah. Cumanya, perasaan ini dapat saya kenal pasti apabila wujud perasaan marah. Samada marah terhadap orang di sekeliling, atau marah pada diri sendiri. Perasaan tidak puas hati ini kebanyakkannya wujud disebabkan oleh tekanan hidup. Bukan marah kerana Allah.


Kurang Masa Bersama, Dimarahi Pula

Secara psikologinya (tanpa merujuk mana-mana pakar, hanya teori sendiri, haha), seorang anak itu boleh sahaja dimarahi, mengakui kesilapannya dan menerima, andai mereka jelas kenapa mereka di marahi. Namun, kebanyakkan anak-anak zaman kini, keliru barang kali, apakah salah mereka. Sudahlah kurang masa bersama ibu bapa, apabila berjumpa, anak-anak terasa ingin bermanja, namun disangkakan mengada-ngada dan dimarahi pula.

"Mama, ajar Ain main games ni,"

"Mama penatlah sayang, esok sahaja ok?"

"Ala mama, esok mama tak ada juga"

"Mama kata esok, esoklah!"




Bingung, kenapa dimarahi...



Itu mungkin bukan marah yang biasa. Tapi bagi yang mendengar, itulah satu bentuk marah yang dilontarkan.

Jika di sekolah, guru yang marah, kadangkala dilihat dua kali lima perangainya dengan anak-anak murid. Seorang yang bertindak garang, haruslah punya kredibiliti supaya mereka dipandang tinggi. Andai guru yang garang sekadar ingin menunjukkan lagak, masuk kelas pon tidak...sukar bagi anak-anak murid menerimanya.

"Suruh kami berdisiplin, cikgu sendiri dua kali lima."


Marah Kerana Allah

"Orang muslim yang kuat imannya tidak mencintai sesuatu kecuali kerana Allah. Dan tidak pula membenci sesuatu, kecuali benci kerana Allah. Oleh kerana itu ia akan mencintai atau membenci sesuatu kalau Allah dan Rasul-Nya mencintai atau membencinya".

Ayat di atas dipetik dari sebuah kitab ‘PEDOMAN HIDUP MUSLIM' bab 7 Adab Bersaudara kerana Allah cinta dan benci kerana Allah.

Selalu kita mendengar ayat-ayat suka dan cinta kerana Allah. Mari kita fahamkan dan hayati pula makna BENCI KERANA ALLAH.

Benci menimbulkan rasa tidak puas hati lalu menimbulkan marah. Namun, kenapa kita benci? Mengapa kita membenci itulah akan menjawab persoalan mengapa kita marah. Andai kita benci sesuatu kerana ianya perkara yang turut dibenci oleh Allah dan Rasulnya, alhamdulillah.

Namun, andai kita benci disebabkan emosi. Benci memarakkan marah disebabkan oleh tekanan hidup, maka sama-sama kita muhasabah balik iman kita. Mungkin marah yang tidak kerana Allah inilah membuatkan insan-insan yang dimarahi tidak dapat menerima. Hati mereka tidak menjadi hormat dan takut, bahkan menjadi keras seperti batu.

Niat marah itu akan menimbulkan kesan pada orang yang dimarahi.


Kepentingan Niat

Jika berbicara tentang niat, saya amat gemar kisah ini. Kisah Saidina Ali, sepupu Rasulullah.
Saidina Ali dalam posisi menghunus pedang, siap membunuh orang musyrik itu. Apa yang terjadi kemudian? Orang musyrik itu meludah ke arah Saidina Ali. Saidina Ali menghentikan rencanya untuk membunuh orang musyrik tersebut.

"Aku tidak mahu membunuhmu bukan kerana Allah" begitu mungkin pemikiran Saidina Ali.
Pedang yang sama, orang yang sama. Saidina Ali bisa saja meneruskan untuk membunuh musuhnya. Akan tetapi, Saidina Ali adalah orang yang mulia. Sehingga memelihara betul niat di balik tindakannya. Membunuh kerana Allah adalah sebuah bentuk penghambaan kepada-Nya. Membunuh kerana amarah antara manusia adalah bentuk penghambaan atas hawa nafsu.

Niat akan membezakan nilai dari sebuah tindakan. Seseorang boleh saja melakukan tindakan yang sama (marah), akan tetapi dengan niat yang berbeza, maka nilai tindakannya pun berbeza. Tindakannya sama, nilai tindakannya berbeza.

Semua orang boleh marah-marah. Marah memudaratkan atau marah mengelokkan.

Justeru, marah kerana sayang?



Saat penantian adalah pencarian diri.

Allah lebih tahu segalanya

Jumpa lagi insyaAllah.

Jumaat, 5 Jun 2009

Kerana CINTA, Aku Tinggalkan Cinta

Sebenarnya sudah lama saya ingin kongsi kisah saya ini dgn sahabat-sahabat sekalian. Tapi , setiap kali laptop saya buka, jari ini jadi kaku untuk menulis. Tapi akhirnya saya nekadkan juga untuk menulis tentang ini. Hati saya bagai ditarik-tarik untuk menulis.Saya sudah tidak berdaya untuk pendam segalanya. Saya bimbang jika makin saya pendam,saya akan makin tersiksa dalam dunia saya sendiri. Doa saya semoga Allah ampuni saya atas segala apa yang saya lakukan ini. Apa yang akan saya coretkan ini adalah sekadar buat tatapan sahabat-sahabat sekalian. Ia adalah pengalaman saya sendiri. Ia hadir dari lubuk hati saya sendiri. Bukan fantasi atau rekaan semata. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah tetapkan kepada saya.

Kisah ini saya ceritakan supaya apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya untuk hari-hari kemudian. Ianya terjadi sewaktu saya berada dalam tahun 2 diploma dan si dia berada dalam tahun akhir diploma. Kebetulan kami belajar di tempat yg sama dan dalam jurusan yang sama di Bangi. Saya juga adalah seperti kalian semua. Manusia biasa yang punya fitrah untuk dicintai dan mencintai. Kamar hati saya ini sepi dan tidak pernah saya isikan dengan cahaya atau cinta dari mana-mana lelaki. Ianya suram dan sepi. Hinggalah akhirnya saya bertemu dengan seseorg.

Pertemuan saya dan dia terjadi sewaktu saya mengikuti aktiviti rehlah kelab. Itu pertemuan pertama. Tidak kenal pun, tapi perkenalan kami bermula hanya melalui sms dan demi Allah , saya ikhlas menghulurkan salam persahabatan padanya hanya kerana Allah. Tapi, semua yang terjadi telah ditakdirkan , dan saya tidak menduga akhirnya saya mula jatuh cinta dengan dirinya. Saya sendiri tidak sedar bila perasaan itu mula bercambah. Demi menjaga maruahnya , cukuplah kalau dia hanya dikenali sebagai “Mukhlis Sadiqy”. Gelaran itu saya sendiri yg berikan padanya kerana pada saya dia merupakan seorang sahabat yang ikhlas. Benarkah? Erm,hanya Allah dan dia saja yang tahu sejauh mana tahap keikhlasannya.

Perwatakannya sopan dan dia fasih berkata-kata, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal agama. Jalannya hanya menundukkan wajah. Dia seakan-akan takut untuk bertentang mata dengan wanita. Tindakannya itu wajar kerana dari mata segalanya boleh terjadi. Walaupun antara saya dan dia , kami tidak pernah bersua secara berhadapan, tapi setiap kali bicaranya melalui sms itu menambat hati saya. Saya senang berbicara soal-soal agama dengannya, Namun, iman saya mula goyah, taqwa mula merapuh, nafsu merasuk nurani suci, lalu hati tunduk pada bisikan syaitan nan keji. Hanya sms. Nampak macam baik kan? Tidak pernah berbicara secara berhadapan tapi hanya sms. Sesetengah orang akan berpendapat bahawa cara saya itu betul , tapi sebenarnya ia silap sama sekali. Dan saya akhirnya menyedari kesilapan itu.

Sms itu sebenarnya hanya 1 alasan bagi saya. Ianya mungkin nampak agak baik,walhal tujuannya tetap sama dan ianya tetap salah. Niat baik itu tidak pernah menghalalkan cara. Yang batil tetap batil. Yang haq tetap haq. Allah pernah berfirman :

“Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” (Surah Al-Ankabut,29:38)

Kalau difahami ayat ni, sebenarnya apa yang berlaku pada saya ialah, syaitan telah buat saya pandang baik pada perkara buruk yang saya lakukan. Memang pada mulanya niat saya baik, tapi syaitan itu sangat licik. Dia akan sedaya upaya buat saya terjerumus ke dalam kemaksiatan.

Matlamat baik saya itu tidak pernah menghalalkan cara saya. Selama hampir setahun saya leka dengan perasaan ini sendiri, akhirnya saya menyedari kesilapan yang telah saya lakukan ini. Saya terlalu asyik dengan cinta ini sehingga saya terlupa pada Pemilik Cinta yang sebenar. Sungguh, saya rasa terlampau berdosa dengan diri ini dan dengan dirinya sendiri. Saya telah menjadi fitnah bagi dirinya , kerana sedikit sebanyak saya telah melalaikan hatinya. Walaupun antara kami tidak pernah punya apa-apa yang istimewa , tapi saya tahu yang saya telah banyak menyusahkan dan meresahkan hatinya.


Saya panjatkan kesyukuran kerana Allah swt mengurniakan hidayah-Nya pada saya dan saya kembali menyedari kesilapan yang saya lakukan. Silap saya kerana punya cinta ini dihati. Tidak seharusnya saya begitu mudah melafazkan cinta dan meluahkan rindu. Saya seharusnya sedar pada siapa harus saya lafazkan cinta itu..hanya utk Allah ,Pemilik Cinta Teragung dan rasul-Nya.

Terus-terang saya katakan yang saya jadi malu dengan diri saya sendiri, dengan Allah dan dengan dia sekali. Kini , untuk kembali mencari keredhaan dari-Nya saya tinggalkan cinta di hati saya ini,ia hanya untuk Allah. Itu sebenarnya adalah jalan terbaik bagi saya.

Saya mengaku, saya sering kali terluka dan saya sebenarnya tidak kuat untuk melakukan itu , tapi saya perlu lawan segala hasutan syaitan durjana ini untuk mencapai keredhaan-Nya. Saya terpaksa berperang dengan hati dan perasaan saya sendiri.

Sewaktu saya mentaddabur Al-Quran, ada satu ayat yang membuatkan saya berfikir sejenak bahawa wajib bagi saya berperang dengan perasaan ini. Saya tidak boleh beri kemenangan pada syaitan dalam peperangan ini. Surah Al-Baqarah, ayat 216:

”Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kini , segala apa yang pernah ada kaitan antara saya dan dia telah saya simpan. Gambarnya yang saya simpan secara curi-curi, dairi saya yang penuh dengan catatan berkenaan dirinya, tudung pemberiannya dan semua sms nya yang saya simpan dalam buku, saya simpan di dalam kotak. Hanya satu saja pemberiannya yang saya pegang dan bawa kemana-mana saja , saya tidak tegar untuk menyimpan pemberiannya yang itu di dalam kotak. Nak tahu apa?

TAFSIR AL-QURAN pemberian dari dia. Tafsir Al-Quran yg berwarna coklat itulah yang banyak memuhasabah diri saya. Kerana Al-Quran itulah saya akhirnya sedar akan segala kesilapan saya. Jadi, TIDAK MUNGKIN saya simpan dan ‘tutup’ Al-Quran itu untuk selama-lamanya.

Dia kini sudah tamat diplomanya di Bangi dan alhamdulillah saya sudah tidak bertemu lagi dengannya. Dan dia pun sudah melangkah satu lagi fasa dalam proses mencari ilmunya , dimana dia sudah menyambung ke peringkat degree di Shah Alam. . tapi insyaAllah saya yakin dia bahagia sekarang kerana doa saya untuknya sentiasa ada agar dia berada dalam naungan cinta Illahi. Apa yang terjadi antara saya dan dia kini hanya kenangan. Bukanlah bermaksud saya putuskan ikatan persahabatan yg terjalin antara kami ..tidak..!! Haram untukk seorg muslim memutuskan silaturrahim dan menjauhi sahabatnya. Sampai kiamat pun , dia tetap sahabat saya dunia dan akhirat. Tapi dia pernah menyatakan pada saya bahawa ini yang terbaik dan saya terima dengan senang hati keputusannya itu. Cuma saat ini biarlah hanya Allah di hati saya dan biarlah masa yg tentukan siapa dia pada saya di masa hadapan.

"Jika seseorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal"

Saya tahan keinginan di hati ini kerana saya yakin Allah akan kurniakan sesuatu yang halal bagi saya. Semoga satu hari kelak saya akan berjumpa dengan “putera agama” saya yang akan dapat menambahkan lagi cinta saya pada Illahi.

Kita Miskin Cinta dan Kasih Sayang

Masyarakat kini miskin cinta. Cinta mereka hanya terbatas pada orang, kaum dan benda tertentu. Bila disebut pemuda, maka dia semestinya seorang yang akan mencintai gadis. Bila disebut orang kaya, dia perlu mencintai harta. Maka setiap haluan hidup di tujukan pada yang tercinta.

Bila kasih sayang 100% untuk kekasihnya, hartanya, dan jawatannya, orang lain tidak lagi penting dalam hidup. Cintailah semua orang, kerana cinta itu tidak terhad.. Bila saja berhadapan dengan orang yang dicintai, orang lain dilihatnya seperti batu dan tunggul. Bila diminta pertolongan, sedikit pun tidak diendahkan.

Namun untuk terjun ke lautan api bagi membuktikan cinta pada kekasihnya sanggup diredahi . Lalu bagaimana sikap tolong menolong, kasih mengasihi terhadap sadara-saudara yang lain dapat diamalkan jika segala perbuatan baik hanya untuk orang tertentu dan hanya di dasari oleh material semata-mata.

Kerana itu manusia kini miskin cinta. Cinta itu terhad untuk harta, jawatan, wanita, dan kaum kerabat. Kisah peperangan di Negara jiran tidak dihiraukan kerana; cinta hanya terhadap Negara sendiri dan semangat perkauman yang menebal.

Perompak berjaya melarikan beg tangan seorang mak cik dan kita melihat dari jauh kerana; itu bukan makcik kita atau wajah mak cik itu tidak seiras Siti Nurhaliza.

Ingatlah ketika jenazah kita disuatu hari nanti hendak dikebumikan. Siapa yang membantu. Saudara kita yang tidak pernah kita kasihi di dunia dahulu yang menurunkan kita ke liang lahad.

Dahulu kita sibuk menghabiskan masa dengan mengira nilai wang emas, sibuk dengan kekasih dari awal pagi hingga malam. Lalu, dimanakah benda yang kita cintai itu pada waktu ini. Pangkat yang kita cintai kini dijawat orang lain. Harta yang diusahakan siang dan malam kini menjadi warisan untuk anak-anak.

Ingatlah Allah tidak pernah membataskan sifat arRahmanya pada manusia tertentu. Nabi saw juga tidak datang hanya untuk sebuah kaum atau bangsa sahaja.

Maka bersahabatlah dan sebarkanlah silatarrahim kepada semua manusia. Jangan kerana cinta harta, pangkat, dan kekasih, kita tidak berpeluang untuk mencintai yang lainnya.

Artikel dihantar oleh : az-zahrah


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Mampukah Aku Menjadi Seperti Mereka?

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah,
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabillah,
Penawar hati kekasih Allah,
Susah dan senang rela bersama.

Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aishah,
Isteri Rasulullah yang bijak,
Pendorong di kala kesusahan dan penderitaan,
Tiada sukar untuk dilaksanakan.

Mengalir air mataku,
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah,
Akur dalam setiap perintah,
Taat pada abuyanya yang sentiasa berjuang,
Tiada memiliki harta dunia,
Layaklah ia sebagai wanita penghulu syurga.

Ketika aku marah,
Inginku intip serpihan sabar,
Daripada catatan hidup Siti Sarah.
Tabahkah jiwaku,
Setabah umi Nabi Ismail,
Mengendong bayinya yang masih merah,
Mencari air penghilang dahaga,
Di terik padang pasir merak,
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah,
Pengharapannya hanya pada Allah,
Itulah wanita Siti Hajar.

Dapatkah aku mengikut jejak Siti Rahmah,
Permaisuri Nabi Ayyub,
Pasrah dengan dugaan Tuhannya,
Walau pernah tersungkur ke dalam jerat syaitan,
Namun ia kembali,
Kerana iman yang kuat,
Telah dijanjikan syurga adalah balasannya,
Bahagia adalah miliknya.

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman,
Bersinar indah, harum tersebar,
Bagai wanginya pusara Masyitah.

Aku adalah hamba-Nya

Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah.. kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia sajikan .aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku.

Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” Aku menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencitaiKu?” Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan,kaki dan seluruh anggotaku; aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya.

Kemudian aku jawab, “Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang di dunia ini yang tak mampu aku lihat? Kemudian aku berfikir...ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, “Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikina rupa, namun begitu aku akan tetap menyintaimu Ya Allah.”

Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?” Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian akutersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga; tetapimenggunakan hati. Aku jawab, “Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu.”

Dia menyambung lagi persoalanNya, “Jika kamu ditakdirkan bisu adakah kamu akan terus memujiKu?” Aku tertanya lagi, bagaimana aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kitame mujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya. Kemudian aku menjawab, “Sungguhpun aku tidak mampu untuk mambunyikan pujian bagiMu, aku akan tetap memujiMu.” Dan...

Dia terus betanya lagi, “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?” dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, “Ya, benar Tuhanku, aku menyintaimu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!” Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanyakan lagi, “Kalau begitu kenapa kamu masih melakukan dosa?” Aku jawab, “Kerana aku cuma manusia bisa yang selalu lalai; aku tidak sempurna...aku bukan maksum.” “Kalau begitu, kenapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu; kamu lari jauh daripadaKu? Dan kenapa ketika kamu susah dan mahukan bantuan...kamu terus ingat kepada Aku; kamu datang dekat dan merayu kepada Aku?”

Aku tidak mampu berkata-kata. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku. Dia sambung lagi, “Mengapa kamu buat begini...kadang-kadang sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu nengingatiKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu?” Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. “Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?”
Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?

Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan... atau alasan... namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan. Dia berkata-kata lagi... “Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau menghayatinya.

Acap kali Aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu pesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaan dan rayuanmu kepadaKu... dan semuanya telah Aku perkenankan dengan pelbagai cara.”

SambungNya lagi, “Kini... adakah kamu menyintaiKu?” Aku tidak mampu menjawabnya lagi. Bagaimana harus aku jawab persoalan ini.. Dalam tak sedar, aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang boleh aku jawab bagi persoalan itu? Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran airmata mengalir turun di kedua-dua belah pipiku, aku merintih, “Oh Tuhanku... ampunkanlah segala dosaku. Aku tidak layak menjadi hambaMu Ya Allah...” ..Kemudian Dia menjawab, “Sifatku pengampun...barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan Aku ampunkan kamu wahai hambaKu.”

Aku bertanya kepadaNya, “Mengapa Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?” Dia menjawab “Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikanmu. Apabila kamu menangis aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak kegirangan Aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir dan Aku akan menyayangimu selama-lamanya.”

Seingat aku... aku tidak pernah menangis sebegini. Aku sendiri tidak mengerti kenapa hatiku ini begitu keras; tidak mampu menangis menyesali segala dosaku selama ini. Dan..buat kali pertamanya dalam hidupku ini... aku benar-benar solat dalam ertikata yang sebenar. Ya Allah..betapa indahnya dapat merasakan kehadiran-Mu di setiap waktu..

Lelaki Idaman

LAKI memang dilahirkan secara fitrah pandai memikat. Ayat ‘power’, pandai memujuk dan merayu adalah antara ciri-ciri semula jadi yang ada pada lelaki. Malah, dalam dunia haiwan pun, ada ciri itu apabila si jantan bijak memikat si betina.

Disebabkan kelebihan itu, ramai wanita yang layu dan cair apabila berhadapan dengan lelaki sedemikian. Oleh itu, sedikit kajian telah dibuat untuk mengenali lelaki melalui tindakannya:

* Jika lelaki mengirimkan SMS lebih daripada sekali setiap hari walaupun hanya untuk mengucapkan “apa khabar?” atau “sudah makan ke belum?”, tandanya dia ada perhatian kepada anda. Lelaki tidak akan melakukan perbuatan itu terlalu kerap jika tiada maksud lain.

* Jika lelaki menelefon anda tanpa sebab dan hanya memberitahu: “sekadar mahu mendengar suara anda..”, tandanya dia suka anda tetapi malu untuk memulakan kerana lelaki tahu mereka harus memulakan langkah pertama.

* Andai lelaki mendiamkan diri selepas pertengkaran panjang, maksudnya dia sudah letih dan ingin pertengkaran itu dihentikan kerana hakikatnya si lelaki tidak suka berperang mulut dalam tempoh lama.

* Andai lelaki memegang tangan atau membelai rambut anda selepas pertengkaran, tandanya dia merasa bersalah kerana membuat anda marah. Lelaki paling lemah jika wanita menangis dan dia mudah mengalah. Jadi, sesekali gunakan senjata ‘air mata’ untuk menewaskan lelaki.

* Jika lelaki bersandar di bahu anda dan meminta membelai rambutnya, tandanya anda adalah satu-satunya wanita yang dia cinta kerana lelaki paling lemah apabila wanita manja dan lemah lembut dengannya.

* Jika lelaki memberitahu dia sanggup melakukan apa sahaja untuk anda, ada dua kemungkinan sama ada dia sukakan anda atau memang dasar playboy. Lelaki yang mempunyai cinta sejati ingin wanita itu tahu dia akan sentiasa berada di samping wanita yang disayangi tetapi lelaki hidung belang biasanya menyulam dengan kata-kata pujian yang kurang jelas.

* Andai lelaki menangis di hadapan anda, tandanya dia amat sayangkan anda kerana dasar lelaki memang sukar menangis kerana air mata bagi lelaki ibarat permata. Jika menangis, memang dia cintakan anda.

* Andai lelaki suka melanggar peraturan yang anda buat, tandanya dia tidak gemar dengan apa yang anda lakukan. Lelaki tahu apa yang salah dan benar tetapi hanya dia tidak suka diperintah bukan dilarang. Semakin dilarang, semakin dilanggarnya.

* Jika lelaki cemburu, ada empat kemungkinan:- Dia sayang dan takut kehilangan anda- Dia mahu menguasai anda- Dia tidak mahu ada pesaingan- Dia mungkin mempunyai trauma dan tidak pernah menceritakan kepada anda.

* Jika lelaki diam membisu, tandanya dia benar-benar marah kerana selagi dia bercakap, dia belum terlalu marah. Awas, jika lelaki tiba-tiba diam, lebih baik anda jangan terus berleter, buruk akibatnya.

* Jika lelaki bercerita masa lampau yang buruk, tandanya dia memberitahu supaya anda tidak melakukan perkara yang sama.

* Andai lelaki merenung mata anda tanpa berkelip, dia sebenarnya sedang mencari jawapan, apakah anda benar cinta dan sayangnya.Kebanyakan lelaki tidak merasa selamat dalam hubungannya, mungkin kerana trauma percintaan dahulu atau pengaruh persekitaran.

fikir2kan la... Laughing